Jumaat, 27 September 2013

Jenayah Rogol Membimbangkan

Assalamualaikum .. salam muslimat

Hampir satu perempat daripada lelaki di Asia Pasifik mengakui pernah merogol seseorang sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka, menurut satu tinjauan baru, dengan lebih separuh daripada responden terbabit mendakwa melakukannya kali pertama ketika masih remaja.
Kajian itu meliputi enam negara iaitu Bangladesh, China, Kemboja, Indonesia, Papua New Guinea dan Sri Lanka – mendapati 10 peratus lelaki mengakui merogol sekurang-kurangnya seorang wanita yang bukan pasangan mereka, satu angka yang meningkat kepada hampir 25 peratus apabila merogol pasangan dimasukkan.

Untuk hiburan
Hampir 75 peratus mereka yang merogol berkata berbuat demikian kerana berasa berhak melakukan hubungan seksual, manakala lebih separuh berkata, mereka melakukannya untuk hiburan.

Kajian diterajui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke atas lelaki dan keganasan, mengumpul data daripada lebih 10,000 lelaki dan 3,000 wanita berusia antara 18-49 tahun antara 2010 dan 2013 bagi memahami mengapa lelaki melakukan keganasan ke atas wanita dan apa yang boleh dilakukan untuk menghalangnya.

Penemuan itu penting kerana rantau Asia Pasifik menempatkan lebih separuh penduduk dunia, menjadikan jumlah dan pelbagai maklumat dikumpul “tidak pernah diperoleh sebelum ini dan bertindak sebagai perintis,” kata Dr Emma Fulu dari Partners for Prevention, program bersama PBB yang menjalankan kajian itu.

Henti keganasan
“Ini adalah kali pertama kami memiliki data jenayah rogol dalam skala ini, bukan hanya di rantau namun di dunia, dan saya fikir ia kemungkinan mencadangkan jenayah rogol melebihi kita fikirkan dan jenayah rogol bermula lebih awal daripada apa yang orang ramai fikirkan, yang benar-benar mengetengahkan keperluan untuk mula bekerjasama dengan budak lelaki muda dan perempuan untuk menghentikan keganasan,” katanya. - AGENSI

Inilah yang selalu dilaporkan di media. Untuk ke sekian kalinya kajian demi kajian beserta statistik masalah sosial dipaparkan. Namun satu-satunya yang jarang dan barangkali belum pernah dipaparkan adalah punca dan langkah penyelesaian sebenar berdasarkan syariat Islam. Inilah yang dinanti-nantikan oleh umat. Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Tinggal lagi adakah kita mahu melaksanakannya seperti mana yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Peningkatan jenayah rogol di rantau Asia Pasifik seperti yang dilaporkan seharusnya membuka mata dan minda kita untuk bertindak. Pernahkah bertanya mengapa isu rogol ini semakin mewabak dan mendunia? Sudah tentu ianya berkaitan dengan sistem kehidupan yang diterapkan iaitu sistem sekular Demokrasi. Kebebasan bertingkah laku selain dari bebas beragama, bersuara dan memiliki sesuatu sesuai keinginan tanpa batasan merupakan hal yang prinsip dalam sistem Demokrasi. Bayangkan kesannya apabila manusia diberi kebebasan untuk berbuat apa sahaja tanpa batasan. Jadi mengapa perlu hairan apabila berleluasanya kejadian atau kes-kes berkaitan rogol, cabul, bunuh, ragut, rompak dan sebagainya? Bukankah itu hanyalah kesannya? Ya memang telah ada peraturan dan hukuman untuk menanganinya. Namun semua peraturan dan hukuman acuan demokrasi itu telah terbukti gagal untuk menyelesaikan segala permasalahan hidup kerana terhasil dari akal manusia dan bukan dari Allah SWT. Lihat sahaja kehidupan kita yang dinaungi oleh sistem sekular demokrasi. Saban hari dilaporkan kejadian-kejadian yang menakutkan dan mencemaskan seolah-olah hampir mustahil untuk menjalani kehidupan dengan aman dan sejahtera.

Sumber: Berita Harian 15/09/2013
Isu rogol sering difokuskan kepada keganasan terhadap wanita. Namun jarang sekali ianya dilihat dari aspek punca berlakunya semua itu dan penyelesaian Islam. Dari mana datangnya akibat jika tidak dari sebabnya? Sebab-musabab inilah yang perlu dikaji dan dicari penyelesaiannya berlandaskan hukum Islam. Allah Yang Maha Mengetahui telah berfirman.
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk” [TMQ al-Isra (17):32].
Dalam hal ini segala hal yang boleh menyebabkan berlakunya perzinaan mahupun rogol perlulah dihalang hingga ke akar-akarnya. Pergaulan bebas, membuka aurat di khalayak umum, pengaruh media massa dan sebagainya haruslah ditangani bersama oleh setiap individu, masyarakat dan negara. Malah negaralah yang perlu bersungguh-sungguh proaktif memainkan peranan dengan kapasiti yang dimiliki untuk melaksanakan setiap langkah pencegahan serta menghukum mereka yang telah melakukan amalan yang terkutuk ini seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam firmanNya: 

“Perempuan dan lelaki yang berzina, hendaklah kedua-duanya disebat masing-masing dengan seratus kali sebatan (pukulan), janganlah belas kasihan terhadap keduanya menghalang kamu dari menjalankan agama Allah, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian” [An-Nur (24):2].
“Wahai orang-orang yang beriman, sahutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang memberi kehidupan kepadamu (menjadikan kamu hidup sempurna)” [Al-Anfal (8):24].

oleh yang demikian, mari kita sama-sama membuat perubahan untuk masa depan anak-anak cucu kita khususnya yang muslimat bagi memastikan mereka selamat daripada segala permasalahan yang berlaku. 

Tiada ulasan: