Isnin, 13 Oktober 2014

Kenyataan Media Dewan Muslimat Isu Pesta Arak Oktoberfest

Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (DMPNM) mengutuk sekeras- kerasnya penganjuran Oktoberfest yg telah diluluskan oleh Kementerian Pelancongan & Kebudayaan sebagai suatu usaha menarik pelancong ke negeri ini. 

1. Perkara 3 Perlembagaan Malaysia menyebut bahawa Agama bagi Persekutuan adalah Islam, dengan ini kenyataan Ketua Menteri Melaka Idris Haron nyata tidak menghormati Perlembagaan Malaysia. Islam tidak melarang penganut agama lain untuk meminum arak selagimana agama tersebut tidak melarang perlakuan sedemikian, tetapi untuk diberi kelulusan PESTA meminum arak adalah suatu yang amat mendukacitakan sekaligus menafikan Islam sebagai suatu cara hidup serta Rahmatanlil 'alamin. 

2. Ketua Menteri menyeru agar Pemimpin PAS supaya berfikiran terbuka. DMPNM ingin menyatakan bahawa kami - pemimpin PAS sentiasa berfikiran terbuka berlandaskan Syariat Islam yang terkandung didalam Al-Quran, hadith, dan ijma' ulama'.


 3.Kami pemimpin PAS sentiasa berpegang teguh, luhur berpendirian BAHAWA dengan sesungguhnya beristiqamah untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL-AMRU BIL MAKRUF WAN NAHYU 'ANIL MUNGKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

 4.Sewajarnya Ketua Menteri serta kabinet yang telah diberi mandat serta kepercayaan oleh rakyat dlm PRU-13 mampu untuk mengemukakan suatu perolehan pertumbuhan ekonomi mapan yang bersih lagi murni demi pembangunan infrastuktur lebih-lebih lagi kesejahteraan pembangunan modal insan dari segi mental, spiritual serta emosi.  DMPNM merasa amat kesal bilamana PESTA arak ini dijadikan sebagai salah satu produk penjanaan ekonomi serta metod untuk menarik pelancong.

 5. Adalah amat jelek di dalam satu negeri, bilamana di satu tempat diadakan Melaka Berselawat dan disatu tempat yang lain diluluskan PESTA minum arak. Berimanlah dengan kesyumulan Islam, bukannya berselawat kepada Nabi namun dalam masa yang sama mengingkari ajaran Rasulullah s.a.w . 

Pn. Hjh. Kintan bte Man
 Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri.

Tiada ulasan: