KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat mendesak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menjelaskan tentang penganjuran 'Future Music Festival Asia 2014' sehingga mengakibatkan enam remaja maut dan empat kritikal.
Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof mempersoalkan mengapa kerajaan BN meluluskan konsert liar selama tiga hari di Stadium Bukit Jalil dalam keadaan rakyat masih berdukacita dengan kehilangan pesawat MH370.
Konsert pada hari ketiga bagaimanapun dibatalkan atas arahan polis.
"Siapakah yang meluluskan permit untuk konsert yang penuh dengan maksiat ini? Kerajaan BN perlu bertanggungjawab dan jangan lepas tangan dalam hal ini kerana ia telah mengakibatkan kematian," tegasnya.

Tambah beliau, sepatutnya kerajaan mengambil tindakan menghalang konsert maksiat itu daripada berlangsung kerana negara sedang ditimpa masalah jerebu dan kehilangan pesawat MH370.
"Seharusnya kita menghormati masalah serta sensitiviti rakyat dan ahli keluarga penumpang MH370. Dalam keadaan rakyat bersedih kenapa kerajaan membenarkan satu konsert maksiat diadakan," tegasnya.
Beliau berkata, kerajaan BN seharusnya berusaha bersungguh-sungguh untuk membasmi masalah pengambilan dadah, minum arak serta gejala sosial yang keterlaluan.
"Sepatutnya semua pihak terutama pemerintah mengambil ikhtibar dan bermuhasabah diatas kejadian kehilangan pesawat MH370, masalah jerebu, ketiadaan air dan sebagainya yang berlaku di negara kita," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan