Ahad, 17 November 2013

ROSNI MAHU MUSLIMAT PAS JADI PENCORAK MASYARAKAT

Calon Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Dr Rosni Adam (gambar) berazam untuk menjadikan DMPP sebuah organisasi yang bergerak dan mampu mencorak masyarakat. Beliau berkata, berbekalkan kekuatan dalaman dan kelebihan ilmu yang dimiliki pimpinan dan ahli, DMPP mampu menjadi organisasi yang mendepani isu-isu masyarakat khususnya isu wanita. "Kita mahu DMPP menjadi organisasi yang bergerak berbekalkan kekuatan tarbiyah dan pengalaman ilmu untuk merasai denyut nadi masyarakat yang terdiri daripada pelbagai golongan dan tahap pendidikan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini. 


 Beliau juga berkata, DMPP perlu menjadi organisasi yang seimbang dari sudut siasah dan dakwah, bertepatan dengan dasar PAS yang memperjuangkan Islam. "Di samping lengkap dengan ilmu berkaitan politik dan siasah, muslimat juga perlu mengutamakan tugas dakwah dan tarbiyah serta meneruskan kepimpinan ulama. "Macam saya, saya profesional tapi saya tetap mahukan kepimpinan ulama," katanya. Menyentuh mengenai keberadaan DMPP bersama Wanita Pakatan Rakyat, beliau berkata DMPP mesti meneruskan kerjasama dengan Wanita PKR dan DAP namun harus lebih ke hadapan. "DMPP mesti diberi ruang dan peluang untuk terus menyumbang idea dan tenaga bersama Wanita Pakatan Rakyat dan biarlah kita menjai organisasi yang sentiasa di hadapan," katanya. Selain itu, beliau juga berpandangan, pertandingan dalam DMPP membuktikan demokrasi dalam PAS dan sekaligus menunjukkan DMPP mempunyai ramai calon yang layak. 

 "Pertandingan ini menyuburkan demokrasi dalam PAS secara tak langsung menunjukkan muslimat mempunyai ramai calon yang boleh dipilih sebagai pemimpin," katanya. Seorang lagi calon yang bertanding pada pemilihan muktamar kali ini ialah Mumtaz Md Nawi. Muktamar DMPP akan berlangsung pada 21 November ini di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor, Shah Alam.

Tiada ulasan: