Rabu, 14 November 2012

Tuntut kaum hawa celik politik, peka hak

Assalamualaikum .. salam muslimat 

Golongan wanita diseru supaya menjadi lebih celik politik dan peka akan hak mereka, kata Ketua Dewan Muslimat Pusat, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusoff.Ketika membuat gesaan itu, beliau berkata, PRU13 kelak menjadi medan untuk mengukur sejauh mana gerak kerja PAS seluruh kawasan dalam mendekati kaum hawa segenap peringkat usia. 

 Beliau berharap dalam Muktamar PAS ke-58 ini, perwakilan Dewan Muslimat PAS kawasan-kawasan di seluruh negara mengambil peluang untuk memberi keyakinan kepada semua ahli dan jentera parti agar bekerja bersama-sama bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya nanti. “Kita patut menggunakan medan tersebut untuk memperbaiki kelemahan dan mengaktifkan gerak kerja kita terus bekerja sehingga kita mencapai kemenangan menuju pilihan raya,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang. 

 Dalam masa sama, golongan wanita juga diseru supaya peka akan isu semasa serta hak mereka dalam usaha melahirkan generasi yang berakhlak serta masyarakat adil dan sejahtera. “Muktamar kelak juga akan memberi tumpuan kepada aspek kebajikan wanita khususnya golongan suri rumah kerana hak mereka juga sentiasa dibela oleh PAS. 

Salah satunya ialah kita akan menerangkan Skim Caruman Wanita Nasional yang dianjurkan bersama dalam Majlis Wanita Pakatan Rakyat,” ujarnya lagi. Muktamar Muslimat akan diadakan pada 14 November 2012 di Kelantan Trade Centre (KTC) yang akan dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Tiada ulasan: