Khamis, 22 November 2012

Dakwah : Ijbari atau Ikhtiyati ?

Assalamualaikum .. salam muslimat 

 Apabila disebut tentang kebaikan atau kebajikan, akan terhidang banyak pilihan perkataan (arab) di hadapan kita. Ada perkataan khair, ma’ruf, birr, hasan, soleh, dan lain sebagainya. Namun, sedarkah kalian, bahawa setiap satunya memberikan rangkuman makna yang berlainan, biar pun terjemahannya mungkin serupa? Inilah yang dimaksudkan pepatah melayu sebagai “sama tetapi tidak serupa.” Jika disebut “ma’ruf” (kata akarnya “ma’rifah” yang bererti “tahu”), sesuatu kebaikan itu perlu diberi kefahaman.

 Ia agak susah hendak difahami, melainkan perlu ada “pemberitahuan”. Sedangkan untuk “khair” (kata akarnya “al-khiyar” yang bermaksud “pilih”), pengetahuan kebaikan itu berlaku dengan ikhtiar atau pilihan manusia, tanpa diajar oleh sesiapa pun, lantaran ianya bisa difahami dengan fitrah semulajadi yang ALLAH kurniakan kepada manusia. [1] Itulah sebabnya, di dalam surah ali Imran [3] ayat yang ke 104, untuk berbuat al-khair, cukup dengan diseru/ di dakwahkan sahaja. 

Tetapi, dalam hal berbuat ma’ruf, harus diperintah/ diarahkan. Kenapa? Kerana hal yang bersifat khair, ianya sudah dimaklumi kebaikankannya kepada manusia secara fitrah, lantas, yang perlu hanyalah seruan, ajakan ataupun dakwah. Misalannya menolong orang, atau bercakap benar, atau berbakti kepada kedua ibu bapa, semua agama, mahupun civilized person sudah sedia maklum akan kebaikan dan keperluan untuk melaksanakannya. Sedang hal yang ma’ruf, lantaran ianya adalah sub-set kepada al-khair, tanpa pemahaman, suruhan dan perintah, sulit manusia untuk melaksanakannya. 

Baik kerana tidak tahu, tidak sedar mahu pun berdegil untuk melaksanakannya. Soalnya sekarang, apakah dakwah dan tarbiyah itu hal yang ma’ruf, yang perlukan “bebelan” panjang kita kepada orang hingga barulah ia tersedar akan peri-pentingnya menjadi sebahagian daripada harakah Islam , atau justerunya ianya suatu yang khair yang memang semulajadinya disedari oleh semua kita. 

 Apa pun jawapannya, bagi mereka yang sudah pun terlibat dalam halaqah dan usrah, dakwah tidak lagi menjadi pilihan. Tetapi seharusnya; kewajipan! Dan bukankah para rasul pemegang panji ALLAH, sering diuji dek “bidang” yang mereka geluti? Maka, jika kita yang mengaku daie lebih sering diuji dan disedihkan oleh urusan duniawi berbanding urusan dakwah, maka benarkah kita sudah menginfakkan seluruh hayat kita untuk dakwah? 

 Kerana kita semua, bakal diuji dengan titik kelemahan kita. Maka biarlah ujian yang menimpa diri kita, merupakan ujian dalam “bidang” dakwah, agar kita kekal mulia dengan memikirkan permasalahan umat, persis pesannya Syed Qutb hafizullah; “Orang yang hidup untuk dirinya sendiri akan hidup seperti orang yang kerdil dan mati sebagai seorang yang kerdil. Tetapi orang yang hidup bagi orang lain akan hidup sebagi orang yang ‘besar’ dan mati sebagai orang yang besar juga..”

Tiada ulasan: