Selasa, 19 Jun 2012

HATI-HATI BILA MEMBELI BUKU AGAMA

Siti Khairiah Mohd Yusoff

Tanpa kita sedar, masyarakat di Malaysia pada hari ini terus diasak dengan pelbagai ancaman ideologi yang mempengaruhi pemikiran umat Islam. Beberapa hari yang lalu, kita dikejutkan dengan pengedaran buku berjudul Allah, Kebebasan dan Cinta hasil tulisan Irshad Manji yang mendukung gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).Berdasarkan kenyataan daripada sebuah akhbar tempatan, buku Irshad Manji mengandungi unsur penghinaan terhadap Rasullullah S.A.W yang digambarkan dalam keadaan yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam. Selain itu, di dalam buku tersebut juga mempertahankan fahaman sekularisme dengan mencampuradukkan nilai-nilai akidah.Apa yang saya ingin perkatakan di sini, kita sebagai umat Islam sama ada golongan muda atau tua perlu berhati-hati ketika membeli buku yang berkaitan dengan hukum-hakam agama. Ini kerana, kemunculan buku-buku berunsur islam banyak di pasaran diibaratkan cendawan tumbuh selepas hujan sehingga kita terlepas pandang tentang isi kandungan buku tersebut.


 

Hal ini perlu dititikberatkan oleh umat Islam kerana kebanyakan buku di pasaran mengandungi perkara yang bercanggah dengan hukum syarak atau ajaran agama Islam. Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) banyak mengharamkan terbitan buku seperti Understanding The Islamic Explosion (Bernard Palmer Harizan House Publisher Alberta, Canada 1980), Muhammad (Michael Cook Oxford, New York Oxford University Press) dan banyak lagi.Sebenarnya, penerbitan buku seperti ini adalah salah satu propaganda Barat secara halus untuk menyebarkan pengaruh negatif terhadap masyarakat kita yang mana boleh membawa kepada kehancuran bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Apa yang menjadi ketakutan bagi umat Islam lagi, isi kandungan buku tersebut menyalahi syariah yang ditetapkan dalam al-Quran dan Hadis. Perkara ini jelas menimbulkan kekeliruan kepada pembaca sehingga boleh merosakkan akidah umat Islam.


 

Lebih–lebih lagi, bagi mereka yang mula ingin mendalami ilmu agama Islam. Semestinya, mereka akan membeli bahan bacaan berunsur Islam selain menghadiri ceramah agama. Perkara inilah yang amat dibimbangkan kerana jika bahan bacaan yang dibeli tidak merujuk kepada pakar agama tentang kesahihan kandungan buku, ia boleh memesongkan akidah seseorang untuk selama-lamanya.Oleh sebab itulah, kita perlu berwaspada dan tidak tergesa-gesa membeli buku tanpa membaca terlebih dahulu isi kandungan dan perlu mengambil tahu siapa penerbit serta penulisnya buku tersebut. Dalam masa yang sama, umat Islam juga perlu mengambil tahu dan merujuk buku-buku garis panduan yang diterbitkan oleh JAKIM agar tidak tersalah dalam memilih buku ilmiah.

Tiada ulasan: