Jumaat, 26 Ogos 2011

INGATAN BUAT PUTERI UMNO DAN WANITA UMNO

Assalamualaikum .. salam muslimat

UMNO, sekularisme dan asabiyyah adalah perkara yang tidak dapat dipisahkan, seperti irama dan lagu. UMNO merupakan tulang belakang dan peneraju yang mengekalkan sistem kufur peninggalan penjajah sejak zaman merdeka lagi. Walaupun majoriti ahli UMNO adalah Muslim namun perjuangan yang berasaskan pemikiran sekular dan assabiyyah terus tegar dan segar di kalangan ahlinya. Hakikatnya, ahli-ahli UMNO kini sudah tidak lagi merasa berdosa dengan jalan perjuangan yang mereka pilih selama ini. Apakah mungkin kerana sudah terlampau lama bergelumang dengan dosa sekularisme dan asabiyyah ini maka mereka telah menjadi selesa dengannya?

Renungilah perbandingan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap orang-orang yang beriman dan orang-orang yang fajir dalam melihat dosa. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman akan melihat dosa-dosanya seolah-olah dia berdiri di bawah gunung. Dia takut (dosa itu) jatuh menimpanya. Sedangkan orang-orang yang jahat akan melihat dosa-dosanya seperti lalat yang menghampiri hidungnya, kemudian ia berkata mengenai dosanya, “ Seperti inikah?” Abu Syihab berkata dengan tangannya yang diletakkan - di atas hidungnya” [HR al-Bukhari].

Ahli UMNO, termasuklah sayap puterinya wajib meninggalkan perjuangan yang bersifat asabiyyah itu dengan menjadikan Islam sebagai asas perjuangan dan seterusnya bergerak mengembalikan semula kehidupan Islam di dalam umat hari. Kewajiban ini hakkatnya terbeban ke atas seluruh umat Islam di saat ini. Wahai Puteri UMNO! Apa perlu kamu mengekalkan rentak perjuangan asabiyyah yang terang-terang dicela oleh Nabi SAW. Apakah hujah yang akan kamu berikan di hadapan Allah SWT kelak dengan perjuangan kufur yang kamu dokong selama ini? Hayatilah perjuangan para Muslimah Islam yang terdahulu yang telah melakukan pengorbanan untuk Islam. Hayatilah pengorbanan Siti Khadijah yang setia mendokong perjuangan Nabi sehingga akhir hayatnya. Lihatlah bagaimana Asma’ binti Abu Bakar yang memberikan sumbangannya dalam membantu hijrah ayahnya Abu Bakar bersama Rasulullah SAW. Banyak lagi contoh-contoh srikandi yang boleh kamu ambil sebagai iktibar dalam perjuangan. Inilah yang sewajarnya kamu dokong dan bukannya terus berbangga dan terus kekal dalam perjuangan sekular asabiyyah

Tiada ulasan: