Selasa, 21 Jun 2011

MUSLIMAT SOKON INISIATIF NGO BERGABUNG DALAM BERSIH


Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyokong penuh inisiatif lebih 80 buah badan bukan kerajaan (NGO) yang telah bergabung di dalam Bersih 2.0 untuk menganjurkan satu program penting dalam sejarah tuntutan demokrasi negara ini yang juga dipanggil sebagai Walk For Democracy atau ”Berjalan Untuk Demokrasi” pada 9 Julai ini.

Ketua Penerangan DMPP, Aiman Athirah al-Jundi turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh Jawatankuasa Bersih 2.0 atas kejayaan Majlis Pelancaran Bersih 2.0 yang diadakan malam tadi.

Katanya, DMPP percaya hasrat dan tujuan mereka ini adalah sangat murni, sebagai tanggungjawab sosial mereka kepada seluruh warga dan tentulah juga merupakan manifestasi kehendak seluruh rakyat yang mahu melihat satu sistem dan perjalanan Pilihan Raya yang Bersih, Adil dan Kredibil (boleh dipercayai).

”Apatah lagi jika kita melihat NGO-NGO yang terbabit di dalam BERSIH 2.0 ini merupakan NGO-NGO yang aktif dalam hal-hal berkaitan hak asasi manusia, pemberdayaan wanita dan rakyat, pembela terhadap masyarakat tertindas hatta dipimpin pula oleh bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) iaitu Datuk Ambiga Sreenavasan yang tentulah tahu dan faham ruang lingkup yang menjadi hak rakyat hatta batasan serta sempadan-sempadan yang ada, selari dengan undang-undang serta peraturan dalam negara,” katanya.

Hakikatnya, kata beliau selepas tempoh 12 kali Pilihan Raya Umum negara dan yang terbaru ialah Pilihan Raya Negeri Sarawak serta 16 kali Pilihan Raya Kecil membabitkan hampir kesemua negeri dalam Malaysia kecuali Perlis dan Wilayah Persekutuan; jelas terbukti bahawa terdapat pelbagai kelemahan ketara di dalam sistem dan perjalanan Pilihan Raya dalam negara itu.

Tambahnya, kelemahan-kelemahan itu dapat dilihat dan fahami melalui lapan tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH 2.0.

Tiada ulasan: