Rabu, 18 Ogos 2010

BIDAAH TERBARU ROSMAH MANSOR

Penganjuran Festival Fesyen Islamik (IFF) mampu membantu merapatkan jurang antara negara Islam dan Barat kerana ia secara tidak langsung dapat memberi kefahaman kepada masyarakat dunia terhadap keindahan budaya Islam. Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sehubungan itu penjelajahan merentas dunia untuk mempromosikan busana Muslim mampu mengubah persepsi terhadap dunia Islam, memberi inspirasi di samping memperkukuhkan ikatan antara negara. "Salah satu objektif terbesar IFF adalah menyatukan budaya dan negara untuk memberitahu bahawa melalui fesyen kita merangsang pemahaman dan rasa hormat antara masyarakat yang berbeza agama dan kepercayaan. "Saya berbangga kerana IFF telah berjaya sampai sebegini jauh untuk mempromosikan busana Islam dan mendapat maklum balas daripada pelbagai latar belakang dan agama di samping memperkukuhkan industri fesyen tersebut ke peringkat lebih tinggi," katanya. Beliau berucap pada majlis malam gala amal dan pertunjukan fesyen IFF di The Monte Carlo Sporting Club dekat sini malam semalam.

Antara pereka fesyen yang terlibat termasuk Datuk Tom Abang Saufi dari Malaysia dan Ghea Panggabean dari Indonesia. Pada majlis tersebut sejumlah RM789,600 (188,000 euro) berjaya dikumpul menerusi lelongan tiga barangan termasuk foto Putera Monaco, Putera Albert II ketika mengunjungi Sarawak pada dua tahun lalu. Kutipan itu akan disumbangkan kepada Yayasan Putera Albert II bagi membantu pemuliharaan alam sekitar. Hadir sama ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Putera Monaco, Putera Albert II; Perdana Menteri Qatar dan isteri, Sheikh Hamad Al-Thani dan Sheikha Noora Abdul Aziz Al Hubaien; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta pengasas dan pengerusi IFF, Datuk Raja Rezza Shah. 

 Penganjuran IFF kali ini melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kali dianjurkan di Eropah. IFF mula diperkenalkan pada 2006 dan sudah memasuki edisi keempat dengan objektif memartabatkan fesyen Islam di mata dunia. Rosmah yang juga penaung IFF berkata, sebagai perintis dalam menggerakkan fesyen Islam, Malaysia harus mengambil peluang jurang dalam pasaran busana Muslim yang luas memandangkan ia bukan sahaja sesuai dipakai Muslimah tetapi wanita keseluruhannya. 

 Lebih-lebih lagi, kata beliau, Malaysia sendiri sudah dikenali sebagai sebuah negara yang mengamalkan pendekatan sederhana dalam beragama selain pelopor kepada perdagangan Islam termasuk perbankan dan kewangan Islam dan dikenali sebagai hab halal untuk memasarkan pelbagai produk kepada pengguna Muslim di dunia. Justeru, beliau yakin, penguasaan pasaran itu mampu menjadi realiti sekiranya semua pelopor pergerakan fesyen Islam meneruskan kesinambungan usaha tersebut. Rosmah juga menganggap pemilihan kota Monte Carlo sebagai lokasi penganjuran kali ini amat tepat bukan saja untuk mempromosikan fesyen Islam tetapi juga pembuka jalan kepada pasaran Eropah bagi fesyen islamik yang diinspirasikan dari Malaysia dan seluruh Asia. 

Sementara itu, Albert berkata, penganjuran festival fesyen berkenaan merupakan langkah penting untuk mengubah perspektif negatif dan prejudis terhadap fesyen Islam. "Acara malam ini sederhana tetapi amat penting untuk mengeratkan persahabatan dan memastikan alam sekitar terus dipelihara dan menyingkirkan ketakutan terhadap busana Muslim," katanya

Tiada ulasan: