Jumaat, 18 Jun 2010

REMAJA KURANG ILMU PUNCA GEJALA SOSIAL

Masalah gejala sosial timbul kerana longgarnya remaja Islam dengan ikatan akidah islamiah. Kelonggaran ini berpunca daripada ketidakfahaman mereka terhadap hakikat Islamiah atau tidak mempunyai kesedaran akan tuntutan tersebut.

Sedih dengan keadaan masyarakat di Malaysia pada masa sekarang merujuk kes pembuangan bayi baru-baru ini, Siti Zailah Mohd Yusof berkata keadaan ini berlaku kerana ketidak sungguhan kerajaan dalam melahirkan masyarakat yang berakhlak yang bermula dari sistem pendidikan itu sendiri.

Penindasan kerajaan terhadap Sekolah Agama Rakyat (SAR) antara punca gejala sosial dan sindrom ini berlaku terhadap remaja sekarang membuahkan masyarakat yang tidak bermoral, jelasnya. Seharusnya isu seperti ini menjadi isu sejagat dalam menjana pendidikan modal insan.

Mengambil contoh Rasulullah merupakan model terbaik dalam melahirkan generasi manusia, Zailah berkata, baginda berjaya mengubah dan mendidik manusia dari zaman jahiliah kepada generasi yang bertaqwa dan berilmu.

"Berlainan yang berlaku sekarang, tindakan kerajaan menarik peruntukan perkapita bagi sejak Oktober 2002 yang hanya bernilai 8 sen untuk setiap pelajar, mendiskriminasikan pelajar SAR yang mendalami bidang akhlak itu,

"Malah sehingga kini peruntukan tersebut masih tidak diserahkan semula kepada SAR," ujarnya dalam Konvensyen Guru-guru Wanita Islam, pagi tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang itu menjelaskan, tindakan kerajaan itu buktikan bahawa kerajaan memang tidak menitikberatkan dalam melahirkan masyarakat yang berjaya dalam bidang akademik dengan pakej sahsiah dan akhlak yang baik.

Tambahnya, jawapan penting kepada masalah ini ialah pendidikan keimanan. Ia juga adalah aktiviti yang dilakukan oleh murabbi (guru-guru) terhadap anak didiknya dalam menjaga iman mereka, meningkatkan kualiti dan menyempurnakannya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar semua peserta konvensyen agar dapat mendidik berdasarkan ajaran Islam agar matlamat mahu menjadi pencetus transformasi modal insan itu tercapai.

Tiada ulasan: